“Tok, tok,
tok” Bunyi ketukan pintu kedengaran.
“Boleh abang
masuk?” Kedengaran suara serak–serak basah meminta izin untuk masuk.
“Masuklah” Qibtiah bersuara. Tersembul wajah abangnya
dimuka pintu.
“Boleh abang
duduk?” Soal Talha.
“Ish, abang
ni, apa yang nak minta izin sangat, dah macam nak menghadap anak raja pula”
Qibtiah mengomel perlahan.
Talha
tersengih mendengar omelan adiknya. Padanya, adiknya itulah segala-galanya bagi
dia dan bondanya. Tawa Qibtiah merupakan tawa mereka dan tangis Qibtiah juga
merupakan tangis mereka.
“Abang bukan
apa, nanti kalau tak minta kebenaran nak duduk, tiba-tiba dibuatnya katil Qib
ni tiba-tiba roboh, Qib lah yang tanggung sebab Qib yang beri kebenaran pada
abang”. Jawab Talha dengan nada bersahaja.
Meletus tawa
Qibtiah mendengar jawapan abangnya. Telatah abangnya benar-benar mencuit
hatinya.
“Abang ni,
ada-ada sajalah”. Kata Qib dengan tawa yang masih berbaki.
“Kan comel
macam ni, ini tak, muka masam dah macam pekasam, elok-elok comel pun jadi tak
comel”.
“Oh, abang
memang saja nak bagi Qib ketawa ya? Ada agenda rupanya”. Qib menampar lembut bahu abangnya.
“ Aduh,
janganlah pukul abang, abang bergurau je. Qib pernah dengar kan “laugh is the best medicine”, ketawa
adalah ubat yang terbaik, jadi abang tengah buat ubatlah ni” ujar Talha.
“Mentang-mentanglah
dia tu doktor, asyik nak ubatkan orang saja kerjanya”. Qibtiah mencebik.
Talha
senyum. Padanya, walau sekuat manapun dia memberikan khidmat baktinya kepada
masyarakat, masalah adiknya tetap menjadi keutamaan. Talha tahu, sebagai abang,
dia menjadi tempat Qibtiah meluahkan masalah dan meminta nasihat. Jika boleh,
dia akan membantu sedaya upaya, tetapi dalam soal ini, adiknya sendiri perlu
membuat keputusan tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak. Talha tahu, adiknya buntu. Ibarat kata
pepatah, diluah mati emak, ditelan mati ayah.
“Qib,
sebenarnya abang ada perkara nak bincang dengan Qib” ujar Talha memulakan
bicara.
Qibtiah
merenung abangnya. Dia seolah-olah dapat meramal perkara yang ingin
dibincangkan oleh Talha.
“ Qib, abang
tahu Qib rasa bersalah dengan bonda, Qib tersepit dengan pilihan Qib dan juga pilihan
bonda, tapi abang yakin, Qib mampu membuat keputusan yang terbaik tanpa
menyinggung hati bonda. Abang percayakan Qib sebab Qib seorang anak yang baik,
anak yang seboleh-bolehnya tidak mahu mengoyakkan hati ibu dan bapanya. Abang
yakin Qib boleh.”
Qibtiah
merenung lantai, tidak tahu apa yang patut diungkapkan kepada abangnya.
Fikirannya benar-benar buntu. Jiwanya pula berbelah bahagi. Dia sendiri tidak
pasti samaada mahu mengikut pilihan hatinya atau hanya mengikut kata bonda.
Jika diikutkan kata hatinya, samalah seperti dia mengoyakkan hati seorang ibu.
Jika dia mengikut kata bondanya pula, samalah seperti dia membunuh hatinya sendiri.
Perlahan-lahan
Qibtiah mengangkat muka lalu merenung wajah abangnya. Dia seolah-olah mencari
kekuatan untuk memulakan bicara.
“Abang tahu
kan perangai bonda ? Kalau putih kata bonda, maka putihlah, kalau hitam kata
bonda, maka hitamlah. Qib takkan dapat ubah pendirian bonda, abang. Abang
sendiri tengok kan, betapa marahnya bonda bila dia dapat tahu perkara ni.” Ujar
Qibtiah.
“Ya, abang
tahu. Tapi tak salahkan kalau kita mencuba lagi. Jangan cepat mengalah Qib.
Usaha sedaya mungkin. In Sya Allah, abang percaya hati bonda akan lembut juga
nanti.” Talha cuba memberi semangat kepada adiknya.
Qibtiah
senyap. Dia cuba mencerna setiap patah perkataan yang keluar dari mulut
abangnya. Dia berfikir, ada benarnya kata-kata Talha, dia tidak boleh putus
asa. Tidak boleh sama sekali. Jika tidak hancur luluhlah harapannya nanti.
Qibtiah
merenung muka abangnya. Kali ini dia senyum. Dia tekad mahu memujuk bondanya
melepaskan dia pergi walaupun dia tahu kemungkinan untuk pendirian bondanya
berubah adalah amat tipis.
Talha
memegang bahu Qibtiah, seolah-olah memberi semangat kepada adiknya. Mereka
berdua sama-sama melangkah keluar dari bilik Qibtiah. Tempat dituju cuma satu,
bertemu bonda untuk menyuarakan hasrat yang sama untuk kali kedua.
Bersambung…
No comments:
Post a Comment