“Bonda tak setuju. Bonda kata bonda tak
setuju, bonda tetap tak setuju!” bentak bonda.
“Bonda, tolonglah bonda, tolonglah faham Qib
bonda, kalau bonda tak faham Qib, siapa lagi yang nak faham Qib?” Qib seakan
merayu.
“Habis, Qib ingat siapa nak faham bonda? Qib
satu-satunya anak perempuan bonda, bonda dah tak ada anak perempuan lain.
Sekarang, Qib nak suruh bonda faham Qib?” Bonda memulangkan paku buah keras.
“Bonda, Qib tahu bonda sayangkan Qib, Qib pun
sayang pada bonda. Tapi, Qib betul-betul minta tolong, sekali ini sahaja bonda.
Qib takkan boleh pergi kalau tak ada restu dari bonda”.
“Nak restu apanya? Nak restu pergi tempah
maut? Qib ni memang dah hilang akal tahu tak?”. Bonda sudah mula hilang sabar.
“Islam tak pernah mengajar kita untuk
pentingkan diri, malah islam mengajar kita untuk membantu antara satu sama
lain. Itu yang selalu bonda pesan pada Qib. Tapi kenapa, bila dah jadi macam
ni, bonda seolah-olah lupa apa yang bonda selalu pesan pada Qib”.
“Bonda tak sanggup Qib, bonda tak sanggup nak
lepaskan Qib, bonda takut”. Mata bonda yang bundar itu mula bertakung
manik-manik jernih.
“Mati itu pasti bonda, cuma bila, dimana, dan
bagaimana kita tak pasti. Sehebat mana pun seorang manusia takkan dapat
menandingi kuasa tuhan. Kalau sudah ajal, sekarang pun tuhan boleh ambil nyawa
kita kan bonda?”.
Mendengar perkataan mati membuatkan
manik-manik jernih yang bertakung dikolam mata bonda gugur perlahan-lahan.
Bonda sedar akan hakikat itu, namun hatinya serasa terlalu payah untuk
menerima. Ketakutan yang terlampau sudah pun membaluti hati bonda.
Qib memandang bonda seolah-olah meminta
pengertian. Bonda juga begitu. Lama mereka diam. Diam tanpa suara mahupun kata.
Hanya manik-manik jernih yang menjadi bahasa.
Akhirnya, Qib meraih tangan bonda,
dikucupnya tangan seorang ibu yang telah banyak berjasa, lantas dipeluk ibunya
seerat mungkin seperti tidak mahu dilepaskan.
Bonda tersenguk-senguk menahan sedu. Tidak
dapat digambarkan bagaimana mungkin dia tidak akan dapat merasa lagi kehangatan
pelukan anaknya. Bagaimana mungkin selepas ini, dia tidak akan mendengar hilai
tawa anak manjanya itu dan bagaimana mungkin selepas ini dia tidak akan dapat bergurau
senda dengan anaknya, alangkah sedihnya bonda.
Bersambung…
Waiting to be continue the story.
ReplyDelete