Monday, May 20, 2013

Khaulah (Ep 1)








“Bonda tak setuju. Bonda kata bonda tak setuju, bonda tetap tak setuju!” bentak bonda.

“Bonda, tolonglah bonda, tolonglah faham Qib bonda, kalau bonda tak faham Qib, siapa lagi yang nak faham Qib?” Qib seakan merayu.

“Habis, Qib ingat siapa nak faham bonda? Qib satu-satunya anak perempuan bonda, bonda dah tak ada anak perempuan lain. Sekarang, Qib nak suruh bonda faham Qib?” Bonda memulangkan paku buah keras.

“Bonda, Qib tahu bonda sayangkan Qib, Qib pun sayang pada bonda. Tapi, Qib betul-betul minta tolong, sekali ini sahaja bonda. Qib takkan boleh pergi kalau tak ada restu dari bonda”.

“Nak restu apanya? Nak restu pergi tempah maut? Qib ni memang dah hilang akal tahu tak?”. Bonda sudah mula hilang sabar.

“Islam tak pernah mengajar kita untuk pentingkan diri, malah islam mengajar kita untuk membantu antara satu sama lain. Itu yang selalu bonda pesan pada Qib. Tapi kenapa, bila dah jadi macam ni, bonda seolah-olah lupa apa yang bonda selalu pesan pada Qib”.

“Bonda tak sanggup Qib, bonda tak sanggup nak lepaskan Qib, bonda takut”. Mata bonda yang bundar itu mula bertakung manik-manik jernih. 

“Mati itu pasti bonda, cuma bila, dimana, dan bagaimana kita tak pasti. Sehebat mana pun seorang manusia takkan dapat menandingi kuasa tuhan. Kalau sudah ajal, sekarang pun tuhan boleh ambil nyawa kita kan bonda?”.

Mendengar perkataan mati membuatkan manik-manik jernih yang bertakung dikolam mata bonda gugur perlahan-lahan. Bonda sedar akan hakikat itu, namun hatinya serasa terlalu payah untuk menerima. Ketakutan yang terlampau sudah pun membaluti hati bonda.

Qib memandang bonda seolah-olah meminta pengertian. Bonda juga begitu. Lama mereka diam. Diam tanpa suara mahupun kata. Hanya manik-manik jernih yang menjadi bahasa. 

Akhirnya, Qib meraih tangan bonda, dikucupnya tangan seorang ibu yang telah banyak berjasa, lantas dipeluk ibunya seerat mungkin seperti tidak mahu dilepaskan.


Bonda tersenguk-senguk menahan sedu. Tidak dapat digambarkan bagaimana mungkin dia tidak akan dapat merasa lagi kehangatan pelukan anaknya. Bagaimana mungkin selepas ini, dia tidak akan mendengar hilai tawa anak manjanya itu dan bagaimana mungkin selepas ini dia tidak akan dapat bergurau senda dengan anaknya, alangkah sedihnya bonda.



Bersambung… 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...