Sunday, January 5, 2014

Khaulah (Ep 2)





“Tok, tok, tok” Bunyi ketukan pintu kedengaran.

Boleh abang masuk?” Kedengaran suara serak–serak basah meminta izin untuk masuk.

“Masuklah”  Qibtiah bersuara. Tersembul wajah abangnya dimuka pintu.

“Boleh abang duduk?” Soal Talha.

“Ish, abang ni, apa yang nak minta izin sangat, dah macam nak menghadap anak raja pula” Qibtiah mengomel perlahan.

Talha tersengih mendengar omelan adiknya. Padanya, adiknya itulah segala-galanya bagi dia dan bondanya. Tawa Qibtiah merupakan tawa mereka dan tangis Qibtiah juga merupakan tangis mereka.

“Abang bukan apa, nanti kalau tak minta kebenaran nak duduk, tiba-tiba dibuatnya katil Qib ni tiba-tiba roboh, Qib lah yang tanggung sebab Qib yang beri kebenaran pada abang”. Jawab Talha dengan nada bersahaja.

Meletus tawa Qibtiah mendengar jawapan abangnya. Telatah abangnya benar-benar mencuit hatinya.

“Abang ni, ada-ada sajalah”. Kata Qib dengan tawa yang masih berbaki.

“Kan comel macam ni, ini tak, muka masam dah macam pekasam, elok-elok comel pun jadi tak comel”.

“Oh, abang memang saja nak bagi Qib ketawa ya? Ada agenda rupanya”.  Qib menampar lembut bahu abangnya.

“ Aduh, janganlah pukul abang, abang bergurau je. Qib pernah dengar kan “laugh is the best medicine”, ketawa adalah ubat yang terbaik, jadi abang tengah buat ubatlah ni” ujar Talha.

“Mentang-mentanglah dia tu doktor, asyik nak ubatkan orang saja kerjanya”. Qibtiah mencebik.
Talha senyum. Padanya, walau sekuat manapun dia memberikan khidmat baktinya kepada masyarakat, masalah adiknya tetap menjadi keutamaan. Talha tahu, sebagai abang, dia menjadi tempat Qibtiah meluahkan masalah dan meminta nasihat. Jika boleh, dia akan membantu sedaya upaya, tetapi dalam soal ini, adiknya sendiri perlu membuat keputusan tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak.  Talha tahu, adiknya buntu. Ibarat kata pepatah, diluah mati emak, ditelan mati ayah.

“Qib, sebenarnya abang ada perkara nak bincang dengan Qib” ujar Talha memulakan bicara.
Qibtiah merenung abangnya. Dia seolah-olah dapat meramal perkara yang ingin dibincangkan oleh Talha.

“ Qib, abang tahu Qib rasa bersalah dengan bonda, Qib tersepit dengan pilihan Qib dan juga pilihan bonda, tapi abang yakin, Qib mampu membuat keputusan yang terbaik tanpa menyinggung hati bonda. Abang percayakan Qib sebab Qib seorang anak yang baik, anak yang seboleh-bolehnya tidak mahu mengoyakkan hati ibu dan bapanya. Abang yakin Qib boleh.”

Qibtiah merenung lantai, tidak tahu apa yang patut diungkapkan kepada abangnya. Fikirannya benar-benar buntu. Jiwanya pula berbelah bahagi. Dia sendiri tidak pasti samaada mahu mengikut pilihan hatinya atau hanya mengikut kata bonda. Jika diikutkan kata hatinya, samalah seperti dia mengoyakkan hati seorang ibu. Jika dia mengikut kata bondanya pula, samalah seperti dia  membunuh hatinya sendiri.  

Perlahan-lahan Qibtiah mengangkat muka lalu merenung wajah abangnya. Dia seolah-olah mencari kekuatan untuk memulakan bicara.

“Abang tahu kan perangai bonda ? Kalau putih kata bonda, maka putihlah, kalau hitam kata bonda, maka hitamlah. Qib takkan dapat ubah pendirian bonda, abang. Abang sendiri tengok kan, betapa marahnya bonda bila dia dapat tahu perkara ni.” Ujar Qibtiah.

“Ya, abang tahu. Tapi tak salahkan kalau kita mencuba lagi. Jangan cepat mengalah Qib. Usaha sedaya mungkin. In Sya Allah, abang percaya hati bonda akan lembut juga nanti.” Talha cuba memberi semangat kepada adiknya.

Qibtiah senyap. Dia cuba mencerna setiap patah perkataan yang keluar dari mulut abangnya. Dia berfikir, ada benarnya kata-kata Talha, dia tidak boleh putus asa. Tidak boleh sama sekali. Jika tidak hancur luluhlah harapannya nanti.

Qibtiah merenung muka abangnya. Kali ini dia senyum. Dia tekad mahu memujuk bondanya melepaskan dia pergi walaupun dia tahu kemungkinan untuk pendirian bondanya berubah adalah amat tipis.

Talha memegang bahu Qibtiah, seolah-olah memberi semangat kepada adiknya. Mereka berdua sama-sama melangkah keluar dari bilik Qibtiah. Tempat dituju cuma satu, bertemu bonda untuk menyuarakan hasrat yang sama untuk kali kedua.


Bersambung…
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...